Saturday, September 6, 2008

Puteri Gunung Ledang The Musical - tradisional atau komersial?



Masih lagi segar di minda Cikgu ketika menonton pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang setahun yang lalu sempena acara Pesta Raya anjuran The Esplanade. Cikgu pasti awak semua pernah dengar tentang cerita ini. Ia merupakan satu karya sastera yang diketahui masyarakat Melayu umum, lantas apabila ia dipentaskan, ia telah mendapat sambutan hangat. Namun, sebagai audiens, Cikgu berasa agak kurang senang dengan pemilihan pelakon utamanya, Stephen Rahman-Hughes yang membawakan watak Hang Tuah. Memang tidak dinafikan bahawa ia merupakan satu aspek komersial di mana rupa ketampanannya menjadi kegilaan penonton wanita serta kebolehannya menyanyi dan fasih berbahasa Melayu. Pada pendapat Cikgu, watak Hang Tuah merupakan lambang wira Melayu yang gagah perkasa, taat dan mempunyai sikap-sikap positif yang lain di mata masyarakat zaman itu.


Akan tetapi, dengan seorang kacukan yang memainkan watak utama itu, seolah-olah keunggulan wira Melayu sejati telah hilang dan ia sesuatu yang agak mengecewakan. Lebih-lebih lagi terdapat beberapa penonton bangsa asing di kalangan audiens pada hari itu yang menonton untuk mengetahui sedikit sebanyak tentang sastera sejarah yang unggul ini. Tentu mereka mempunyai tanggapan bahawa masyarakat Melayu kini tidak lagi membanggakan Hang Tuah sebagai pahlawan Melayu dan boleh menerima Hang Tuah yang berbual secara ‘slang’ (slanga). Hehe!


Namun dari aspek positifnya, ketika menonton muzikal ini, Cikgu merasakan bahawa ia seperti memberikan satu kesegaran terhadap penghayatan karya ini dari aspek suasana (mood) jalan ceritanya. Ia memang penuh dengan lagu-lagu, tarian yang mempesona serta props yang kreatif dan menarik. Walaupun isu yang ingin diketengahkan ialah isu percintaan, namun ketaatan Hang Tuah kepada Sultan tetap menonjol dan dapat kita hayati.


Justeru itu, Cikgu berpendapat bahawa muzikal sebegini boleh menjadi satu wadah yang dapat menarik perhatian awak untuk memahami sastera klasik, sungguhpun fokus jalan ceritanya cenderung terhadap percintaan. Sekurang-kurangnya, awak dapat didedahkan kepada sastera dan ini dapat membuka ruang untuk awak mengetahui lebih lanjut lagi tentang hikayat ini dengan inisiatif awak sendiri. Dari kaca mata Cikgu, muzikal ini akan memberikan awak peluang menerokai sastera dengan pengalaman yang berbeza dan dapat memberikan awak satu kesempatan untuk menilai sastera daripada sudut yang berlainan, di samping terhibur dengan lagu-lagu dan para pelakon yang hebat.


Jadi, Cikgu syorkan, apa kata kami semua menonton pementasan drama jikalau diberikan kesempatan?

No comments: