Friday, September 19, 2008

Jika awak berminat...Muzikal 100% Cilik

Daripada pos-pos yang lalu, cikgu dapati bahawa ramai di kalangan awak yang berminat untuk menonton pementasan teater. Cikgu berbesar hati dengan respons yang awak berikan. Oleh kerana ada keinginan supaya cikgu menyarankan pementasan-pementasan teater, di sini cikgu ingin memberitahu adanya pementasan muzikal yang akan datang...



Buat julung-julung kalinya Pesta Raya membawakan sebuah pementasan kanak-kanak! Berhiburlah bersama bintang-bintang cilik Sriwana, kumpulan budaya Melayu tertua di Singapura, dalam sebuah mini muzikal tentang peri pentingnya kepercayaan, budi bahasa, tanggungjawab serta persahabatan. Pementasan ini mengisahkan tentang lima sahabat yang bersiap sedia untuk menyertai sebuah adubakat di sekolah. Walaupun kelima-lima mereka ini berbeza keperibadian, latar-belakang, minat dan bakat, namun mereka mempunyai satu matlamat – menjuarai adubakat tersebut! Ikuti perjalanan mereka dalam menyahut cabaran adubakat ini sambil belajar untuk bekerjasama dan berhibur dengan drama, lagu dan tarian! (dipetik daripada lelaman Sistic)

Tarikh: 27 Oct 2008 4 ptg / 8 mlm

Tempat: Esplanade Theatre Studio

Harga tiket: $14 (pelajar)

Thursday, September 18, 2008

Kumpulan Nazam : Fahamilah perasaan pekerja pembinaaan

P anas terik aku lalui
E ngkau di situ goyang kaki
K erap aku dicemuh
E ntah mengapa nasib begini
R intihan pilu tiada yang fahami
J alani hidup menumpang dalam
A rus kehidupan berbeza yang masih cuba ku adaptasi

P ilihanku bekerja di sini
E mak dan isteri menanti diri ini
M enghempas-pulas
B adan dan tenaga
I ni semua untuk mencari rezeki
N amun aku masih tak fahami
A nggapan orang terhadapku
A ndai kata aku tiada
N escaya negeri ini tak akan maju seperti ini


Hasil kerja: Lia, Hani, Alfian, Yusri

Kumpulan Ghazal - Nasib Si Tukang Sapu

T angan ini yang menyapu
U ntuk membersihkan kawasan perumahan

K ini bersepah lagi
A kibat sifat tidak bertimbang-rasa manusia-manusia
N ama dan gelaran ada pada mereka
G ambar dan kempen kebersihan tidak dihiraukan juga

S iapa yang dapat menghargai aku?
A ku hanya seorang tua yang tidak berguna
P ada mata mereka
U capan terima kasih tidak pernah ku terima


Kumpulan Ghazal: Aizad, Batrisyia, Luqman, Adawiyah

Tuesday, September 16, 2008

Pos Diskusi Puisi Masuri SN

Baiklah para pelajar sekalian, awak telah pun berkongsi pendapat awak semua mengenai video ini dan bagaimana perasaan awak ketika menontonnya. Kita juga telah membincangkan puisi ini secara mendalam sebentar tadi di dalam kelas.

Cikgu telah pun memberikan tugasan kepada setiap kumpulan untuk menghasilkan sebuah puisi. Setiap wakil kumpulan perlu menyertakan hasil kerja kumpulan di dalam ruangan pos. Tugas awak tidak berhenti di situ sahaja ya...secara individu, awak perlu memberi komen terhadap puisi-puisi yang telah dikongsi itu. Kemudian, awak juga perlu memberi respons terhadap komen-komen rakan-rakan awak itu. Cikgu amat berharap supaya awak semua dapat bersikap proaktif supaya pembelajaran kali ini lebih bermakna. Pada pelajaran selanjutnya, saya menggalakkan supaya setiap kumpulan dapat melagukan puisi mereka itu, sepertimana yang disarankan oleh Aizad.

Cikgu tidak sabar untuk membaca dan mendengar pembacaan puisi awak! Selamat berkarya! ;p

Saturday, September 13, 2008

Video & Lagu - Wadah Yang Baik..

Dalam banyak-banyak genre sastera, genre puisilah yang paling saya kurang gemari. Bukan apa.. Kadang-kala, saya mempunyai kesukaran mencungkil makna tersirat atau mesej yang ingin disampaikan penulis. Kekadang juga, saya susah mengecam nada puisi, terutama sekali jika saya tidak fahami makna perkataan-perkataan yang digunakan.

Namun, Cikgu Lyja telah mengubah perspektif saya tentang pembelajaran puisi. Saya serta-merta tertarik dengan adanya alunan muzik yang mengiringi puisi Masuri SN. Sekali mendengar alunan muziknya, saya dapat menangkap puisi ini bernada melankolik. Sungguh menyayat hati melihat betapa sukarnya kehidupan para petani untuk menghasilkan sebutir nasi. Titik peluh mereka diketengahkan dan diambil kira oleh Masuri SN. Dengan adanya grafik-grafik, saya lebih memahami apa yang dilalui para petani untuk menyara kehidupan mereka. Mungkin pada kita yang hidup lebih senang daripada para petani, penghasilan nasi itu perkara yang kurang diberi perhatian, tetapi pada para petani ini, penghasilan inilah yang merupakan soal hidup dan mati mereka.

Puisi ini juga memberi pengajaran bagi saya. Pengajaran yang dapat saya raih mungkin berlainan dengan rakan lain. Menerusi puisi ini, saya lebih menghargai kerja keras yang berlaku di sebalik penghasilan nasi. Ia juga mengajar saya supaya menghargai setiap butir nasi dan jangan sesekali membazirnya.

Pada pendapat saya, penggunaan video dan lagu sebagai wadah untuk pengajaran dan pembelajaran puisi sangat berkesan. Lebih-lebih lagi kepada pelajar yang suka kepada muzik dan bahan visual. Saya harap Cikgu Lyja dapat mengenalkan puisi-puisi lain yang berbentuk lagu kepada kami. Atau.. Cikgu bolehlah menyuruh kami melagukan puisi pula.. Hehe!!

Friday, September 12, 2008

Tontonilah klip video ini yang memaparkan puisi "Ini Nasi Yang Ku Suap" oleh Masuri SN. Puisi ini telah dilagukan dan dinyanyikan oleh Nuradee. Kepada kumpulan yang harus menyertakan pos pada kali ini, awak bolehlah fikirkan:

1) Apakah yang mahu disampaikan oleh Masuri SN?
2) Apakah perasaan awak apabila mendengar dan menonton klip video ini?
3) Dapatkah awak lebih menghayati puisi ini apabila ia dilagukan?

Wednesday, September 10, 2008

KUIZ - Cuba Teka!!!

Para pelajar sekalian...
Cuba teka gambar siapakah di atas ini? Dan apakah kaitannya dengan sastera?

Selamat mencuba! :p